Jais Abdul Karim Nazlan pendakwaan terpilih SPRM Shafiq
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya memfailkan saman terhadap pemerhati politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim atas kenyataan didakwa berunsur fitnah yang dikeluarkannya baru-baru ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius terhadap tuduhan Mohamad Shafiq bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk mengaitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kes rasuah.

Menurut beliau, MCW dengan tegas mengkritik kenyataan tersebut dan permintaan maaf daripada Mohamad Shafiq adalah tidak mencukupi kerana kenyataan itu telah tersebar luas dan pasti ada individu yang mempercayainya.

“Pengajaran harus diberikan kepada seluruh anggota masyarakat agar tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap agensi penyiasatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shafiq membuat permohonan maaf kepada SPRM berhubung kenyataannya melalui Facebook malam tadi dan menyifatkan ada wakil media tersalah lapor.

Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohamad Shafiq susulan dakwaan yang disifatkan sebagai liar dan tidak bertanggungjawab.

Jais menambah, MCW juga menggesa semua pihak agar tidak mempolitikkan dan mengganggu-gugat siasatan SPRM yang sedang berjalan.

Beliau memberitahu, MCW yakin dan percaya setiap rakyat sentiasa menyokong SPRM dan suruhanjaya itu mesti terus tegas dan berani bertindak menyiasat sesiapa sahaja bagi memastikan segala dakwaan kes rasuah dibongkar sehingga ke akar umbi.

“Kebijaksanaan SPRM dalam menjalankan siasatan tidak wajar dipertikaikan dan ahli politik atau penyokong mereka yang sedang disiasat perlu memberi kerjasama penuh.

“Mereka dinasihatkan untuk mengelakkan membuat kenyataan yang kelihatan mengganggu atau mencampuri urusan siasatan bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilaksanakan,” jelasnya. – MalaysiaGazette