Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyerahkan borang pencalonan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi pemilihan UMNO 2023-2026 di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, WTCKL. Foto Instagram Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – ‎Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin atau dikenali Tok Pon menawarkan diri merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua UMNO Bahagian Merbok pada pemilihan UMNO 2023-2026 ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok menyerahkan borang pendaftaran calon MKT di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur pada 16 Februari lalu.

Borang pendaftaran calon ketua bahagian pula diserahkan di Pejabat UMNO Bahagian Merbok pada Isnin 20 Februari lalu.

Menurut Shaiful Hazizy yang mesra dikenali ‘Tok Pon’, keputusan itu dibuat kerana ingin mengembalikan semula kepercayaan akar umbi dalam membangunkan UMNO semula.

“Dengan tekad mengembalikan semula kepercayaan akar umbi, saya percaya parti yang kita cintai ini perlu menghayati keperluan untuk bina semula UMNO.

“Perlu ada perubahan untuk mengubah pendekatan dan gerak kerja parti dalam mendepani situasi politik di peringkat bahagian, negeri dan negara pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Shaiful Hazizy yang bakal bertanding buat pertama kali, keinginan untuk terus berkhidmat dan meneruskan bakti kepada parti juga menjadi dorongan keputusan itu.

“Dengan iltizam yang tinggi, kali ini saya memilih untuk tidak berada dalam zon selesa, saya memilih jalan berliku dengan menyertai Pemilihan UMNO 2023 di peringkat MKT dan peringkat UMNO Bahagian. Insya-Allah, saya akan terus tawakal, berusaha dan berdoa agar diberikan petunjuk dan panduan.

“Dengan penuh keinsafan dan rendah diri, ingin saya tegaskan bahawa diri ini tidak sempurna, diri ini bakal diuji, dan diri ini bakal menerima pengharapan menggunung namun Allah jua segalanya, Allahualaam,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad pada Isnin lalu memaklumkan menerima 24 pencalonan untuk jawatan MKT UMNO menjelang hari terakhir pencalonan Ahad ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast