Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melalui anak syarikatnya CIDB Holdings Sdn. Bhd. (CIDBH) menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Accelution Advisor Sdn. Bhd. (Accelution)

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melalui anak syarikatnya CIDB Holdings Sdn. Bhd. (CIDBH) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Accelution Advisor Sdn. Bhd. (Accelution) baru – baru ini.

Ia bagi menyasarkan lebih banyak syarikat konktraktor menerima pengiktirafan International Organization for Standardization (ISO).

Pengarah Urusan Accelution, Amirul Ashraf Hashim berkata, pensijilan ISO daripada badan-badan yang diiktiraf amat penting memandangkan ia adalah piawaian yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

Katanya, tanggungjawab itu diserahkan kepada Accelution sebagai syarikat perunding yang akan memastikan syarikat kontraktor termasuk lesen G7 mematuhi piawaian tertentu dan diiktiraf oleh ISO.

“Kita mahu lebih ramai syarikat-syarikat tempatan memiliki pengiktirafan sijil ini kerana ia mampu meningkatkan lagi kebolehpercayaan pelanggan selain mengesahkan kompetensi syarikat itu dalam aspek pengurusan dan pematuhan projek.

“Buat masa ini hanya syarikat pembinaan di bawah lesen G7 yang berdaftar Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) sahaja diwajibkan mempunyai sijil pengiktirafan ISO. Malah kerjasama ini turut meliputi bidang perundingan pengurusan fasiliti. Maka, kita mahu ia diperluaskan lagi dan dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Accelution Advisor Sdn. Bhd., Amirul Ashraf Hashim.

Tambah Amirul, pemilihan Accelution diyakini mampu memangkin usaha ini berdasarkan kepakaran yang dimiliki dalam bidang latihan, pematuhan, pensijilan ISO dan pengurusan fasiliti sejak 6 tahun lalu.

Menurut beliau, Accelution merupakan satu-satunya syarikat yang menjalinkan Kerjasama dengan CIDBH dalam aspek Latihan pengurusan dan pematuhan piawaian selain Kerjasama jangka masa Panjang.

“Komitmen ini akan dilaksanakan dengan jitu bagi memastikan industri pembinaan negara mempunyai kualiti pengurusan yang tinggi.

“Melalui kerjasama ini juga, keunikan dapat dilihat daripada aspek kaedah yang digunakan oleh kami dalam menyelia syarikat-syarikat terbabit dengan kos paling efektif sehingga berjaya diberi pengiktirafan”, jelasnya.

Sehubungan itu, CIDBH sebagai koordinator menyeru agar syarikat-syarikat khususnya yang berdaftar dibawah CIDB merebut peluang ini bagi meningkatkan lagi kebolehpercayaan pelanggan terhadap kemampuan mereka dalam melaksanakan sesuatu projek. – MalaysiaGazette