Ahmad Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital memberi bayangan akan menerima peruntukan khusus untuk memperkukuhkan keselamatan siber negara dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan esok.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau berharap perkara berkenaan akan diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“InsyaAllah. Kita harap dapat diumumkan oleh YB Tambun, adalah penekanan pihak kerajaan tentang aspek keselamatan siber di mana saya lihat ada keperluan bagi agensi-agensi kerajaan dan kerajaan negeri mempertimbangkan dan memperuntukan (untuk keselamatan siber) daripada sejumlah yang mungkin ada dari segi belanjawan tahun ini terutamanya (membabitkan) teknologi.

“Ia bagi tujuan keselamatan data dan perlu ada satu penyelarasan dari segi undang-undang,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab tambahan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (Perikatan Nasional) berkenaan tindakan baharu diambil oleh kementerian bagi meningkatkan tahap keselamatan siber.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, KKD turut menumpukan alternatif untuk melaksanakan dasar kriptografi bagi memastikan ketirisan data dan penggodaman dapat dielakkan dengan mempertingkatkan tahap encryption sesuatu data.

Ujar Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, usaha berkenaan boleh dilaksanakan menerusi penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Siber.

“Dari segi keselamatan data peribadi, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) sedia ada tidak mencukupi dan ini satu perkara yang sedang diteliti untuk memastikan semua pemegang data, tidak kira kerajaan negeri atau pihak swasta memahami bahawa prinsipnya, data adalah khazanah negara yang bukan saja perlu dipertahankan tapi juga diguna pakai dengan selamat,” jelas beliau. – MalaysiaGazette