Ho Chi Yang (dua dari kiri) menghantar surat bantahan terhadap larangan pemanduan kenderaan sayuran pada hujung minggu kepadaMenteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUANTAN – Kementerian Kerja Raya diminta membatalkan cadangan larangan kenderaan barangan memasuki Cameron Highlands pada hujung minggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang berkata, ia perlu dibatalkan supaya tidak menjejaskan rangkaian logistik dan bekalan sayur-sayuran sehingga memudaratkan usaha kerajaan meningkatkan tahap sekuriti makanan.

Menurutnya, sebagai destinasi pelancongan terkemuka, Cameron Highlands merupakan antara pilihan utama para pelancong di dalam dan luar negara pada hujung minggu dan musim cuti.

“Oleh sebab hanya terdapat satu jalan utama dalam kawasan Cameron Highlands, peningkatan jumlah pelancong mengundang kepada masalah kesesakan lalu lintas.

“Polisi melarang pemanduan kenderaan sayuran yang merupakan barangan essential tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas namun berkemungkinan besar akan menjejaskan rangkaian bekalan dan logistik sayuran.

“Akhirnya, kepentingan dan hak semua pihak termasuk pekebun sayur, pengusaha logistik, pemborong, penjual sayuran dan para pengguna di seluruh negara akan turut terjejas dalam situasi lose-lose ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau juga sudah menghantar surat bantahan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Justeru Chi Yang berkata, kerajaan seharusnya menyelesaikan masalah pokok dengan membuat kajian menyeluruh dan melaksanakan strategi yang mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam jangka masa panjang termasuklah Jalan Pintasan Cameron Highlands yang masih dalam kajian.

Sebaliknya, larangan pemanduan kenderaan sayuran bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dalam jangka masa panjang tetapi akan mendatangkan impak besar terhadap rangkaian bekalan dan logistik sayuran yang amat rumit.

“Para pengguna akhirnya terpaksa mengalami kemelut di mana bekalan sayuran tidak mencukupi ataupun membeli sayuran dengan harga yang tinggi,” kata Chi Yang. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.