KUALA LUMPUR – Keputusan tegas kerajaan supaya Lynas Malaysia memindahkan kemudahan pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching) keluar dari Malaysia sebelum Julai ini tidak akan menakutkan pelabur.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, syarat yang dikenakan terhadap syarikat itu untuk memperbaharui lesen adalah sama seperti peraturan yang ditetapkan pada 2020.
“Adakah keputusan ini akan menjejaskan pelabur? Jawapannya tidak. Untuk pelabur luar negara pertama mereka perlukan kepastian.
“Apa yang kita lakukan pada hari ini kita tegaskan apa yang telah kita tetapkan pada 2020 tak ada langsung syarat baru yang dikenakan pada Lynas.
“Kedua, konsisten. Kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan perlu konsisten. Kalau pada 2023 kita buat satu lagi keputusan tidak sama dengan 2020 maka kita akan dilihat sebagai flip-flop tidak baik untuk perniagaan,” kata Lih Kang kepada Dewan Rakyat di sini hari ini.
Lih Kang berkata, syarikat itu tidak memberi pulangan berbentuk cukai kepada negara kerana dikecualikan selama 12 tahun.
Bercakap pada sesi penggulungan Titah Diraja bagi kementerian, Lih Kah berkata, Lynas telah menghantar surat rayuan terhadap keputusan itu.
Kerajaan melanjutkan lesen operasi untuk kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas, di Gebeng, Kuantan sehingga 3 Mac 2026.
Bagaimanapun, syarikat itu mesti memindahkan kemudahan pemecahan dan larut lesap ke luar negara sebelum Julai.
Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) mengesahkan subsidarinya, Lynas Malaysia sudah menerima kelulusan pembaharuan lesen operasi daripada Jabatan Tenaga Atom berkuat kuasa 3 Mac 2023 untuk tempoh tiga tahun.
Lesen yang sudah diperbaharui itu diberikan tanpa perubahan kepada syarat yang tertakluk kepada lesen dikeluarkan pada Mac 2020 yang mana melarang mengimport dan memproses pemekat lantanid selepas 1 Julai 2023.
Bagaimanapun Pengarah Urusan Lynas, Amanda Lacaze berkata, syarikat itu kecewa kerana syarat dalam lesen operasi pada 2020 masih dikekalkan walaupun selepas 10 tahun beroperasi dengan selamat di Malaysia,
Beliau berkata, Lynas akan membuat rayuan pentadbiran dan undang-undang untuk memastikan syarikat ini dilayan secara adil sebagai pelabur langsung asing dan majikan serta penyumbang kepada ekonomi Malaysia – MalaysiaGazette