Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan ke atas isu kebocoran penyiasatan  berkaitan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Ghazali telah selesai dijalankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laporan tersebut telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

SPRM memaklumkan perkara tersebut dalam satu surat kepada beliau dua hari lalu.

“Saya telah dimaklumkan oleh SPRM melalui surat bertarikh 21 Februari bahawa satu Laporan SPRM terhadap Datuk Mohd Nazlan Bin Ghazali telah dikemukakan pada tarikh yang sama kepada Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara berhubungan pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

“Tiada maklumat lanjut mengenai perkara ini dimaklumkan kepada saya melalui surat tersebut.

“Perkara ini juga tertakluk kepada keputusan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara selaras dengan Fasal-Fasal 3 dan 3A Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” jelas Azalina di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau,  di bawah Fasal 3 Perkara 145 Peguam Negara/Pendakwa Raya mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicara memulakan apa-apa prosiding bagi kesalahan.

Kuasa budibicara yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Fasal 3 Perkara 145 amat luas dan boleh menuduh mana-mana orang termasuk seorang hakim sekiranya keterangan bagi sesuatu kesalahan memenuhi segala elemen pertuduhan tersebut.

“Namun yang demikian, Kerajaan tidak akan campur tangan kuasa Peguam Negara/Pendakwa Raya,” kata Azalina.

Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (Tenggara-BN) dan Ahli Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor – PN) yang ingin mengetahui apa sudah jadi dengan isu kebocoran penyiasatan SPRM berkaitan kes Nazlan dan hasil siasatan SPRM.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hasil siasatan berkaitan Hakim Mohd Nazlan didedah dalam Parlimen?