Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan pekeliling memansuhkan aktiviti yang menambahkan beban tugas guru sebelum sesi persekolahan 2023/2024 bermula.

Menteri Pendidkan, Fadhlina Sidek memberi jaminan kepada Dewan Rakyat bahawa pemansuhan itu akan dilaksanakan seperti yang diumumkannya sebelum ini.

“Memang daripada segi tindakan KPM akan mengeluarkan surat pekeliling ikhtisas berkaitan pemansuhan pertandingan atau sambutan yang tidak memberikan impak terhadap pembelajaran murid sebelum sesi 2023/2024 bermula.

“Jadi, jangan risau saya beri jaminan kepada Yang Berhormat semua untuk sampaikan kepada guru, KPD masing-masing bahawa surat pekeliling ikhtisas ini akan disampaikan dengan segera,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor – PN) ketika sesi penggulung kementerian bagi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina berkata, pekeliling itu akan mengandungi arahan terperinci mengenai pemansuhan tersebut.

Pada 18 Februari lalu, Fadhlina mengumumkan pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat, yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid dan hanya menambahkan beban tugas guru bermula sesi persekolahan 2023/2024.

Kegiatan membabitkan pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi Sistem Pengurusan Buku Teks (SPBT) terbaik dan yang seumpamanya.

Keputusan itu adalah antara tujuh langkah segera diambil, dalam teras kelima KPM yang memfokuskan kepada isu kebajikan termasuk tekanan dihadapi guru, hasil daripada laporan awal diterima.

Sementara itu, pada sesi penggulungan, Fadhlina menarik perhatian apabila beliau melayan ahli-ahli Parlimen seolah-olah seorang guru menasihati anak murid.

Beliau antaranya meminta supaya ahli Parlimen mengangkat tangan ketika beliau memanggil nama mereka yang melontarkan soalan.

Malah beliau turut menegur ahli Parlimen yang mencelah tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.

“Ahli Yang Berhormat Jelebu ada? Tidak ada. Sik ada? Baik. Ahli yang berhormat yang saya panggil nama angkat tangan ya. Supaya saya boleh catatkan kehadiran.

“Sekejap saya jawab Ledang dahulu. Tak boleh potong cakap cikgu selagi tak habis jawab. Kejap ya.”

Jawapan spontan Fadhlina membuatkan Dewan Rakyat menjadi gamat dengan gelak ketawa daripada ahli Parlimen.-MalaysiaGazette