Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong tidak akan merayu berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menggantung keahliannya selama enam tahun.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tidak perlu baginya merayu kerana sampai hari ini beliau tidak tahu punca parti menggantungnya.

“Jadi, nak rayu buat apa? Kedua, dia (MKT UMNO) gantung tak ikut proses dan tak ikut prosedur. Saya tak diminta untuk jawab ke Lembaga Disiplin UMNO.

“Tak ada surat dikeluarkan Lembaga Disiplin UMNO untuk sekurang-kurangnya panggil saya untuk jawab secara bertulis,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ahli Parlimen Sembrong bersama kepimpinan BN Sembrong hari ini.

Video ucapannya dimuatnaik dalam media sosialnya dengan tajuk  “Ramai tanya dan ternanti-nanti pendirian saya selepas digantung keahlian UMNO, sama ada hendak buat rayuan atau tidak – ini jawapan dan pendirian saya”.

Menurut Hishammuddin, sekiranya  dibuat, ia seolah-olah menunjukkan dirinya bersalah.

“Buat apa kita nak buat rayuan kepada orang yang telah membuat keputusan untuk menggantung? Kepada orang yang gantung kita, kita nak rayu kepada dia?

“Jadi, hari ini saya minta restu dan izin daripada keluarga di Sembrong, kita kata kalau saya nak rayu, saya tak tergamak nak buat rayuan,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, Hishammudin digantung enam tahun dari parti selain bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan

Sementara bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar pula dipecat daripada parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.