Pekerja pasaraya menambah stok jualan minyak paket ketika di sebuah pasaraya di sekitar Jalan Temenggong, Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi disifatkan sebagai kes terpencil yang hanya berlaku di tempat-tempat tertentu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Bagaimanapun katanya, isu sedemikian ditangani dengan segera oleh kementerian tersebut.

“Setakat ini KPDN memberi kenyataan tidak lagi sampai tahap berlakunya krisis sebab sekiranya ada kes-kes kekurangan berlaku di satu-satu tempat pada masa-masa tertentu maka kementerian cepat mengarahkan pegawai memastikan kenapa ia berlaku,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin (PH) berkenaan komitmen kerajaan untuk bertindak kepada peniaga yang menjual minyak masak paket kepada restoran besar dan hotel lima bintang.

Kee Chin juga bertanya, bagaimana kerajaan menangani isu ketirisan oleh sindiket tertentu yang menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran selain status krisis bekalan minyak masak pada waktu ini.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, kuota sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak paket setiap bulan yang dibekalkan mencukupi untuk kira-kira 8.6 juta isi rumah kategori B40.

Namun beliau tidak dinafikan kekurangan bekalan berlaku apabila peniaga kecil turut membeli minyak masak paket.

Kementerian, katanya, tidak boleh mengambil tindakan kepada peniaga kecil khususnya yang terkesan ketika pandemik.

“Isunya kita tidak boleh terlalu keras atau menguat kuasa isu ini kerana yang membeli minyak masak paket bersubsidi termasuklah peniaga mikro, golongan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berniaga di warung, restoran kecil baru nak mula selepas pandemik Covid-19,” tambah beliau.

Sementara itu beliau berkata, KPDN sentiasa melaksanakan operasi secara konsisten sebagai langkah penguatkuasaan demi memastikan tiada isu ketirisan dalam bekalan minyak masak paket.

Katanya, sehingga kini hampir 2,898 kes berkaitan minyak masak telah disiasat dan 13 pendakwaan telah dibuat.

“Ini membuktikan kita tidak lalai dari segi menjalankan penguatkuasaan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette