Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menunjukkan borang jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 di di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim akhirnya secara rasmi akan bertanding jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan kali ini.

Beliau hadir menyerahkan borang pencalonan jawatan itu di Menara Dato’ pukul 11.45 pagi, di sini, hari ini.

Zaid yang hadir seorang diri menuju ke Auditorium UMNO dan selesai urusan penyerahan borang itu dalam masa 15 minit.

Zaid menyertai UMNO pada 2000 dan memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu pada 2004.

Beliau kemudian dipecat daripada UMNO pada Disember 2008 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden UMNO kerana menghadiri majlis pembangkang.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim selepas menghantar borang jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 di di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2023.

Zaid menghadiri Kongres PKR pada November 2008 sebelum menyertai parti berkenaan dan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor tetapi tewas kepada Barisan Nasional.

Beliau kemudian keluar PKR pada 2010 selepas gagal memenangi jawatan Timbalan Presiden sebelum menubuhkan parti sendiri, KITA tetapi tidak dilancarkan.

Zaid juga pernah menyertai DAP pada 2017 hingga 2020 dan dilantik sebagai Pengerusi DAP Kelantan.

Pemilihan MKT UMNO akan diadakan pada 18 Mac ini yang mana tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat bermula pada 13 Februari dan ditutup pada pukul 5 petang 26 Februari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast