Ajay Banga. foto Twitter Mastercard

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menamakan ahli perniagaan India-Amerika, Ajay Banga untuk mengetuai Bank Dunia.

Langkah itu dibuat ketika Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan ke atas bank untuk memberi lebih penekanan pada menangani perubahan iklim.

Banga mengetuai Mastercard, firma gergasi kad kredit selama lebih sedekad dan kini menyertai ekuiti persendirian.

Beliau mempunyai pengalaman untuk membantu kerjasama bank dengan sektor swasta.

Dengan pencalonan itu, terpulang kepada Bank Dunia untuk melantik beliau.

Pada hari Rabu lalu, bank itu berkata, ia merancang untuk menemu bual senarai pendek, sekurang-kurangnya tiga calon dan menyasarkan untuk menamakan pemimpin baharu pada awal Mei.

Bank Dunia berkata, pemilihannya lebih terarah kepada calon wanita.

Namun, setakat ini tidak dapat dipastikan jika ada negara lain akan mengemukakan cadangan lain.

AS, pemegang saham terbesar Bank Dunia, secara tradisinya bertanggungjawab memilih individu untuk menerajui institusi itu.

Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen berkata, beliau mahu melihat Bank Dunia berfungsi sebagai “pengganda kuasa untuk kebaikan dengan menetapkan agenda yang betul”.

Beliau berkata, Banga “secara unik” dilengkapi untuk memikul tanggungjawab itu, menunjukkan rekod prestasinya menjalin perkongsian antara kerajaan, syarikat dan badan bukan keuntungan.

Banga seorang warganegara AS, kini memulakan kerjayanya di negara asalnya di India, yang mana bapanya adalah seorang pegawai tentera.

Beliau bekerja di Nestle dan Citigroup sebelum menyertai Mastercard.

Banga bersara daripada firma itu pada 2021 dan kini berkhidmat sebagai naib pengerusi di General Atlantic, sebuah firma ekuiti persendirian, yang mana beliau menganggotai lembaga penasihat dana iklim yang bernilai AS$3.5 bilion.

Beliau juga telah bekerja dengan White House sebagaiPengerusi Bersama Perkongsian untuk Amerika Tengah, satu inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan pelaburan sektor swasta di kawasan itu, dalam untuk cuba menyekat aliran migran ke AS. – Agensi