Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali membentangkan belanjawan negara sebagai Menteri Kewangan di Parlimen selepas kali terakhir 26 tahun lalu.

Kali terakhir beliau membentangkan belanjawan 1998 pada 17 Oktober 1997 semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa berada dalam kerajaan Barisan Nasional.

Anwar tiba di Parlimen pukul 3.50 petang dari Kementerian Kewangan bagi pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani yang bakal menarik perhatian serta ditunggu-tunggu ramai.

Anwar segak berbaju Melayu warna biru muda dan bersamping sedondon biru tua turut dilihat memegang beg sampul hitam tenunan songket Sarawak yang mengandungi teks ucapan belanjawan.

Turut sama mengiringi beliau termasuk kedua-dua timbalan menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim.

Pada 20 Disember lalu, Anwar membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari 2023 bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang RM107,718,676,650.

Sebelum ini, pada 7 Oktober lalu, Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober 2022 bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15. – MalaysiaGazette