KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor mempergiat usaha mencari seorang pemancing yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut semasa memancing di pesisir pantai perairan Sementa, Selangor awal pagi semalam.
Pengarah APMM Selangor, Kapten Maritim V Siva Kumar berkata, mangsa yang dikenali Raiman Suyud, 54, keluar memancing menaiki sampan bersama seorang rakan pada pukul 11.30 malam.
“Sampan yang dinaiki mangsa dan rakannya itu dilanggar oleh pukat tunda bot yang tidak memasang lampu navigasi pada kira-kira 5.30 pagi menyebabkan sampan pecah serta mereka berdua jatuh ke laut.
“Mangsa yang tidak boleh berenang telah mengalami kekejangan kaki dan hanyut manakala seorang lagi berenang ke pesisir pantai dan diselamatkan oleh bot pancing berdekatan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat memakai baju celoreng askar warna hijau dan seluar panjang putih sebelum dilaporkan hilang di laut.
Siva Kumar berkata, operasi itu dikoordinasikan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru dan operasi carilamat mula diaktifkan pada 11.20 pagi dengan mengatur gerak bot PERKASA 36.
“Dalam pada itu, Pangkalan Hadapan Carilamat juga ditubuhkan di Jeti Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar dekat sini.
“Setakat 7 malam tadi (semalam), mangsa masih belum ditemui dan carilamat ditangguhkan kerana faktor penglihatan terhad pada waktu malam,” katanya.
Siva Kumar turut memaklumkan, keluasan kawasan pencarian ialah 10 batu nautika persegi di sekitar perairan Sementa.
Operasi carilamat turut melibatkan Pasukan Polis Marin, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Malaysia serta Komuniti Nelayan Setempat. – MalaysiaGazette