KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 akan memberi fokus kepada langkah-langkah menangani peningkatan kos sara hidup, memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan meningkatkan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menelusuri kaedah untuk mengurangkan gangguan dalam pasaran serta memperkemas proses perniagaan melalui adaptasi teknologi tinggi dan digitalisasi.
Objektifnya untuk memastikan pengagihan kekayaan dan pembangunan wilayah yang saksama dan mampan, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini.
Jelasnya, kerajaan kekal komited mengimbangi keperluan menjaga kesejahteraan rakyat dan negara serta memastikan kedudukan fiskal kukuh.
“Matlamatnya untuk mengekalkan kedudukan tinggi penarafan kedaulatan negara dan memastikan kedudukan utama Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra pelabur dan perniagaan adalah penting, terutama dalam mencipta dan menarik pelaburan bernilai tambah tinggi bagi mencapai pertumbuhan berkualiti dan inklusif,” ujar beliau.
Anwar menambah, oleh kerana tahun 2023 dijangka menjadi tahun mencabar, kerajaan akan terus cakna terhadap sebarang cabaran ekonomi dan ketegangan geopolitik yang mendatang.
Katanya, cabaran getir ini memerlukan kerajaan melaksanakan disiplin fiskal yang ketat, di samping mengimbangi keupayaan penjanaan hasil dan komitmen perbelanjaan dengan mengurangkan hutan dan liabiliti secara beransur-ansur.
“Pelbagai inisiatif dikenal pasti untuk menangani isu berkaitan kewangan awam termasuk meneroka sumber hasil baharu yang mampan dan meminimumkan ketirisan.
“Bagi mencapai inisiatif ini, kerajaan akan memberi penekanan terhadap kajian semula dalam perbelanjaan bagi jangka panjang.
“Ini akan meningkatkan fleksibiliti fiskal negara, membolehkan kerajaan melaksanakan langkah dasar kitaran balas dan mengekalkan daya tahan ekonomi negara,” tambah Anwar. – MalaysiaGazette