KUALA LUMPUR – Eksport kasar diunjur sederhana pada tahun 2023 sebanyak 1.6% disebabkan jangkaan kelembapan permintaan luar disebabkan oleh pertumbuhan yang kurang memberangsangkan.
Keadaan ini disumbangkan oleh ketidakstabilan geopolitik berterusan dan unjuran harga komoditi global yang rendah.
Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini berkata, eksport barangan pembuatan dijangka meningkat 1.6% disokong oleh permintaan berterusan dalam produk elektrik dan elektronik (E&E) iaitu 45.5% daripada eksport barangan pembuatan dan produk bukan E&E sebanyak 55.5%.
Produk E&E dijangka berkembang 1.8% berikutan permintaan berterusan untuk semikonduktor manakala produk bukan E&E diunjur meningkay sebanyak 1.4% dipacu dalam permintaan produk petroleum, kimia dan produk kimia serta barangan pembuatan logam.
Eksport barangan pertanian diunjur berkembang 1.3% pada tahun ini disokong permintaan lebih tinggi untuk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.
Pendapatan eksport daripada perlombongan dianggar meningkat 1.5% dipacu permintaan kukuh daripada pasaran utama khususnya gas asli cecair (LNG) sebanyak 1.5%.
Import kasar pula meningkat sebanyak 1.1% berikutan permintaan tinggi untuk barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan yang menunjukkan permintaan domestik dan aktiviti pelaburan yang bertambah baik.
Imbangan akaun semasa dijangka terus merekodkan lebihan sebanyak RM55.2 bilion atau 3% daripada pendapatan negara kasar pada tahun ini walaupun permintaan daripada rakan dagang urama perlahan kerana pertumbuhan global menyederhana.
Namun, akaun barangan dianggar mencatat lebihan sebanyak RM175.2 bilion.
Peningkatan penerimaan dalam akaun pengangkutan dan perjalanan dijangka mengecilkan defisit dalam akaun perkhidmatan kepada RM31.3 bilion.
Terimaan daripada perkhidmatan pengangkutan diunjur meningkat kepada RM29.2 bilion didorong oleh pendapatan lebih tinggi daripada perkhidmatan pengangkutan udara dan pengendalian kargo oleh syarikat domestik.
Aktiviti pelancongan yang kembali rancak tahun ini dijangka memulihkan akaun perjalanan untuk mencatat lebihan berjumlah RM11.4 bilion.
Terimaan daripada akaun perjalanan dijangka meningkat kepada RM49.4 bilion berikutan ketibaan pelancong dan perbelanjaan per kapita lebih tinggi .
Bayaran dijangka mencatat RM38 bilion disebabkan perbelanjaan penduduk Malaysia di luar negara serta aktiviti perniagaan, pendidikan dan keagamaan.
Akaun perkhidmatan lain dijangka defisit lebih rendah berjumlah RM9 bilion disebabkan bayaran lebih kecil selari dengan aktiviti ekonomi global yang perlahan. – MalaysiaGazette