KUALA LUMPUR – Majikan negara ini disaran menawarkan gaji lebih tinggi di mana setimpal dengan latar belakang kemahiran dan pendidikan sebagai langkah membendung bakat tempatan berhijrah ke luar negara.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata , ia perlu ditekankan untuk menggaji bakat tempatan agar mereka kekal bekerja dalam negara sekali gus dapat menghalang mereka ‘lari’ ke luar negara kerana tawaran gaji lebih lumayan.
Beliau yakin kenaikan gaji secara berperingkat boleh dilaksanakan dalam membendung penghijrahan bakat tempatan ke luar negara kerana lebih tertarik dengan tawaran gaji lebih tinggi.
“Saya yakin bahawa gaji yang ditetapkan oleh pasaran ini akan sedikit demi sedikit akan meningkat kaau kita tidak menaikkan gaji kepada pekerja-pekerja, maka kita akan kehilangan pekerja mahir kita yang mungkin akan tinggalkan negara kita.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sivakumar turut mengakui banyak yang sudah dilakukan pihaknya terutama melalui agensi TalentCorp dalam usaha membawa pulang bakat tempatan yang bekerja di luar negara.
Beliau mendedahkan ramai bakat tempatan termasuk bertaraf pakar yang bekerja di luar negara dan pihaknya masih berusaha untuk ‘memujuk’ mereka pulang berkhidmat di Malaysia.
“Talentcorp sedang berusaha membawa pulang pekerja atau pakar yang bekerja di negara lain di mana jumlahnya agak besar. Memang banyak inisiatif yang sedang diambil untuk membawa mereka balik ke negara kita walaupun banyak kekangan tertentu.
“Tetapi inisiatif diambil TalentCorp untuk membawa mereka balik ke negara ini dan dalam masa sama, kami juga sedang mencari kaedah atau mekanisme yang terbaik untuk memastikan bukan sahaja kita membawa mereka yang keluar masuk semula ke negara kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette