Giant

KUALA LUMPUR – DFI GROUP (DFI) telah memeterai perjanjian dengan syarikat tempatan terkemuka Malaysia, diketuai oleh ahli perniagaan dan usahawan tempatan Datuk Andrew Lim, untuk memperoleh kesemua perniagaan makanan DFI di Malaysia, termasuk jenama ikonik Giant.

Peralihan ini dijangka selesai awal Mac 2023.

Lim, mempunyai rekod prestasi yang luas dan dikenali dengan kejayaannya dalam kepimpinan runcit serta dikreditkan dengan sumbangan ketara kepada pertumbuhan dan transformasi landskap runcit di Malaysia.

Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan SOGO Department Store Sdn Bhd, serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan GAMA yang memiliki dan mengendalikan jenama ikonik GAMA Supermarket & Departmental Store di Pulau Pinang.

Syarikat tempatan ini berkongsi kepercayaan yang sama seperti DFI dalam memberi fokus kepada menyampaikan kualiti, perkhidmatan serta nilai hebat kepada pelanggan.

DFI yakin pemilik tempatan berpengalaman seperti Lim akan memberi manfaat serta perubahan positif kepada pelanggan dan kakitangan Giant, Cold Storage dan Mercato.

Perkembangan positif ini sudah pasti akan menjana pertumbuhan masa depan berdasarkan pengetahuan pasaran yang mendalam, pelaburan jenama dan kekuatan daya saing untuk membentuk landasan kukuh.

Syarikat tempatan ini akan mengambil alih 2,500 kakitangan sedia ada.

Lim mengucapkan terima kasih kepada DFI Retail Group kerana memberi kepercayaan serta amanah untuk memajukan lagi jenama runcit terkenal di Malaysia ini.

”Kami, bersama-sama dengan 2,500 rakan serta teman sekerja yang baru ini akan berusaha sebaik mungkin untuk menambah nilai
dan meningkatkan ekuiti jenama Cold Storage, TMC, Giant dan Mercato di Malaysia,” katanya.

DFI kekal komited terhadap perniagaan runcit di Malaysia dengan memperkasakaan fokus strategik kepada perniagaan kesihatan dan kecantikan yang kini berkembang pesat. DFI Group akan terus memiliki dan mengendalikan sepenuhnya kedai Guardian Health and Beauty yang menyandang tempat pertama dalam undian oleh pelanggan Malaysia pada 2022.

DFI merancang pertumbuhan pesat Guardian Malaysia dengan jangkaan penambahan rangkaian kedai (kini melebihi 500) serta penambahan ratusan
perkerjaan dalam tempoh dua tahun ini. – MalaysiaGazette