KUALA LUMPUR – Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka berkurangan secara marginal sebanyak 1% kepada RM291.5 bilion susulan hasil bukan cukai yang rendah disebabkan kejatuhan harga minyak.
Hasil bukan cukai yang lebih rendah ditampung oleh peningkatan hasil cukai yang diunjur sebanyak RM218.3 bilion.
Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini berkata, hasil cukai kekal penyumbang utama kepada Kerajaan Persekutuan dengan peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal sekitar 12% manakala hasil bukan cukai sebanyak 4%.
Kutipan secara langsung dianggar meningkat sebanyak 6.9% kepada RM164.1 bilion, meliputi 75.2% daripada hasil cukai.
Sebahagian besar peningkatan ini disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan syarikat (CITA) yang lebih besar iaitu RM96.4 bilion dan cukai pendapatan individu RM35.3 bilion.
Kutipan CITA yang lebih besar disumbangkan oleh prospek pendapatan korporat yang lebih baik dan usaha berterysan dalam meningkatkan pengauditan dan pematuhan cukai.
Hasil daripada cukai langsung lain, merangkumi duti setem, cukai keuntungan hartanah (CKHT) dan cukai lain meningkat secara marginal 0.1% kepada RM10.2 bilion.
Peningkatan duti setem kepada RM8.1 bilion dan CKHT sebanyak RM1.9 bilion selaras dengan jangkaan pasaran harta tanah yang stabil.
Cukai tidak langsung dijangka berkurangan sebanyak 2.1% kepada RM54.1 bilion berikutan kutipan levi keuntungan luar biasa ke atas minyak sawit mentah diunjur lebih rendah tahun ini.
Bagaimanapun, kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka lebih baik berjumlah RM33.3 bilion atau 1.8% daripada Keluran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kutipan cukai jualan diunjur meningkat sebanyak 5.6% kepada RM17.2 bilion, didorong oleh permintaan yang lebih tinggi ke atas barang buatan plastuik dan elektrik, pakaian serta mesin dan alat ganti.
Cukai perkhidmatan dianggar berjumlah RM16.2 bilion, disumbangkan sebahagian besar oleh permintaan lebih tinggi bagi sektor makanan dan minuman diikuti sektor telekomunikasi dan insurans.
Duti eksais juga dijangka berkurangan sebanyak 1% kepada RM12.4 bilion berikutan jangkaan jualan vokum industri lebih rendah.
Hasil bukan cukai diunjur berkurang kepada RM73.2 bilion berikutan hasil pendapatan pelaburan lebih rendah terutama dari dividen Petronas Bank Negara Malaysia.
Pada tahun ini, kerajaan dijangka terima RM40 bilion dividen daripada Petronas manakala BNM sebanyak RM2.75 bilion.
Namun, sumbangan daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kekal RM3 bilion.
Kutipan lesen permit turut berkurangan 9.3% kepada RM14.2 bilion disebabkan pengurangan royalti petroleum, seiring harga minyak mentah dunia yang rendah.
Tetapi lesen dan permit kenderaan bermotor dijangka meningkat kepada RM3 bilion dan levi pekerja asing RM3.5 bilion.
Hasil berkaitan petroleum pada tahun ini berkurangan sebanyak 20.9% kepada RM65.2 bilion selaras dengan harga minyak mentah yang diunjur AS$80 setong. – MalaysiaGazette