KUALA LUMPUR – Pada akhir September 2022, hutang sektor awam merangkumi obligasi hutang terkumpul Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun dan syarikat awam bukan kewangan (SABK) meningkat sebanyak 7% kepada RM1,484.8 bilion atau 83% daripada Keluaran Dalam Negara KAsar (KDNK).
Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan hutang Kerajaan Persekutuan daripada 70.6% kepada 72.4% daripada jumlah keseluruhan hutang.
Jumlah hutang badan berkanun yang dijamin kerajaan meningkat kepada RM95.2 bilion berikutan terbitan bersih Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Hutang SABK berkurangan kepada RM314.9 bilion disumbangkan oleh bayaran balik prinsipal hutang luar pesisir yang matang.
Hutang sektor awam kekal terurus memandangkan sebahagian besar hutang berdenominasi ringgit.
Dalam pada itu, pendedahan hutang dan liabiliti merangkumi hutang Kerajaan Persekutuan dan obligasi kewangan lain iaitu komitmen jaminan, hutang 1MDB dan liabiliti lain meliputi komitmen bagi projek di bawah kerjasama awam swasta (PPP) dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
Pada akhir 2022, jumlah pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan dianggarkan sebanyak RM1,445.9 bilion atau 80.9% daripada KDNK. – MalaysiaGazette