Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah bercakap kepada media selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri Majlis Makan Malam Kasih Sayang MAYC di The Crystal Crown Hotel, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 24 FEBRUARI 2023.

PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan peruntukan yang diberikan menerusi Bajet 2023 akan dimanfaatkan sebaiknya.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memberi jaminan pengurusan peruntukan akan berteraskan prinsip ketelusan dan integriti.

“Yang penting bagi kita dengan peruntukan yang ada mesti diguna dengan telus, cepat supaya keberhasilannya benar-benar dirasai oleh rakyat.

“Saya percaya KDN akan memastikan setiap sen yang diperuntukkan benar-benar dibelanjakan dengan baik dan kita sentiasa melaksanakan hasrat Kerajaan Perpaduan bahawa peruntukan yang diberi benar-benar mencapai hasrat dan matlamat,” katanya ketika ditemui di Majlis Makan Malam Kasi Sayang MAYC Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-61 di sini malam ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk menyelenggara Rumah Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan membina lebih 7,000 unit rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kuala Lumpur bagi membantu pemilikan rumah mampu milik bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berfasa.

Sementara itu Shamsul berkata, peruntukan kepada kementerian tersebut secara tidak langsung akan meningkatkan lagi moral anggota-anggota yang terlibat menerima manfaat untuk teruskan khidmat menjaga keamanaan negara.

“Saya percaya dengan peruntukan yang diberi akan dapat meningkatkan moral anggota kita bagi meningkatkan semangat bekerja dengan lebih baik dan memastikan apa juga program kita dengan baik dilaksanakan dengan sempurna,” tambahnya.

Secara umumnya, Shamsul yakin rakyat  mahu melihat Belanjawan 2023 di bawah Kerajaan Perpaduan mampu memberi impak besar khususnya kepada keupayaan menangani kos sara hidup.- MalaysiaGazette