Seorang kontraktor, Sairi Norhafi berdepan enam pertuduhan utama dan enam pertuduhan pilihan memalsukan penyata bank untuk menipu MBSA mendapatkan projek masing-masing bernilai RM 487,070 dan RM511,000 ketika hadir ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2023.

SHAH ALAM – Seorang kontraktor berdepan enam pertuduhan memalsukan penyata bank untuk menipu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi  mendapatkan projek landskap, masing-masing bernilai RM487,070 dan RM511,000.

Semua pertuduhan termasuk enam pertuduhan pilihan dibacakan di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh, Sairi Norhafi, 57, didakwa pada 25 Januari dan 10 Mac 2022 di Bahagian Tender dan Ukur Bahan, Majlis Bandaraya Shah Alam mengarahkan Nurul Azam Hamzah memalsukan penyata Maybank milik Fresh Leaf Synergy Enterprise dengan niat menipu MBSA.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama, tertuduh turut berhadapan lima pertuduhan pilihan.

Sairi mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM40,000.

Tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan sebulan sekali termasuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga proses perbicaraan selesai, seperti dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya, A. Kalavani.

Terdahulu, tertuduh diwakili oleh dua peguamnya iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli.

Mahkamah turut menetapkan sebutan kes pada 15 Mac depan. -MalaysiaGazette