Bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR- Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang warga emas berhubung pakej haji furada membabitkan kerugian RM24,000, empat tahun lepas.

Nur Zaidani Akmal Abd Majid, 39, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menipu seorang wanita berusia 69 tahun dengan memperdayakannya sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan RM24,000 bagi mengerjakan haji furada menggunakan pakej haji yang ditawarkan oleh Syarikat Hiddan Travel Sdn Bhd milik tertuduh.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Majlis Perbandaran Selayang di sini, antara 24 hingga 26 Jun 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksium 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Loh Xian Yee mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Khairul Amin Abdullah yang mewakili Nur Zaidani merayu jaminan minimum atas alasan terdapat penyelesaian antara anak guamnya dengan mangsa.

Majistret Chai Guan Hock membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast