Penjawat awam mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM700.

Manakala pesara kerajaan pula menerima RM350.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam.

“Kerajaan silih berganti, pemimpin negara kerap bertukar tetapi penjawat awam sebagai tulang belakang kerajaan setia menggalas amanah negara,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran akan dibuat pada bulan April 2023

Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut bersetuju untuk memberi elaun khas RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang terlibat dalam misi di Turkiye dan Syria.

Elaun ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan ke atas jasa besar yang diberikan atas nama kemanusiaan. – MalaysiaGazette