Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan meneliti Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Dr Radzi Jidin yang memegang portfolio Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bagi Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen PN berkata, pihaknya akan memberi pandangan serta maklum balas mengenainya selepas itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, pembangkang juga akan menyokong mana-mana belanjawan yang baik untuk rakyat.

“PN akan meneliti pembentangan petang ini. Mana yang baik dan wajar untuk kesejahteraan rakyat Malaysia, kami akan sokong. Yang sebalik, kami akan berikan pandangan dan maklum balas,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Semua Ahli Parlimen PN termasuk Radzi hadir di Dewan Rakyat, hari ini bagi mendengar pembentangan Belanjawan 2023 oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan. – MalaysiaGazette