Terowong Paka antara 55 terowong yang dibina untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) . Gambar fail MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Tahun 2023 merupakan tempoh separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12, yang mana kemajuan projek dan program semakin rancak.

Sejumlah RM97 bilion diperuntuk dalam perbelanjaan pembangunan (DE) berkualiti yang memberi penekanan kepada pelaburan berimpak tinggi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan juga komited untuk memenuhi obligasi kewangan termasuk penebusan bon 1MDB bernilai AS$3 bilion yang akan matang pada Mac 2023 serta komitmen kewangan berkaitan inisiatif pembiayaan swasta/kerjasama awam swasta.

Sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar iaitu 56.7% atau RM55 bilion manakala subsektor pengangkutan menyumbang sebanyak 18.1% atau RM17.6 bilion terutama untuk pembinaan jala dan lebuh raya serta menaik taraf jalan, lapangan terbang dan pelabuhan.

Subsektor tenaga dan kemudahan awam akan menerima RM3.2 bilion untuk menaik taraf kemudahan awam luar bandar serta penyediaan bekalan air bersih dan tenaga bersih mampu milik.

Sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan untuk subsektor pertanian bagi menangani isu berhubung keterjaminan makanan negara yang semakin perlu diberi perhatian.

Perkhidmatan sosial penerima kedua terbesar sebanyak RM26.5 bilion atau 27.4% daripada jumlah DE.

Separuh daripada peruntukan itu diagihkan untuk subsektor pendidikan dan latihan terutama bagi pembinaan dan menaik taraf sekolah, institusi latihan dan universiti.

Subsektor kesihatan pula menerima RM4.9 bilion untuk membina, menaik taraf dan membaiki kemudahan kesihatan termasuk Hospital Besar Melaka.

Manakakala subsektor perumahan diperuntukkkan sebanyak RM2.1 bilion bagi penyediaan rumah mampu milik di Arau, Perlis; Marang, Terengganu dan Machang, Kelantan.

Sementara itu, sejumlah RM11.5 bilion akan disalurkan untuk sektor keselamatan dengan RM6.4 bilion kepada subsektor pertahanan dan bakinya keselamatan dalam negeri.

Peruntukan ini juga untuk membina dan menaik taraf kem, balai polis, penjara dan kuarters.

Sebanyak RM3.9 bilion akan diperuntukan untuk sektor pentadbiran am terutama untuk menambah baik sistem teknologi maklumat dan komunikasi, serta menaik taraf kelengkapan bangunan dan fasiliti kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast