JOHOR BAHRU – Pengumuman Belanjawan 2023 mendapat reaksi positif dalam kalangan orang ramai kerana banyak inisiatif kepada rakyat.
Rata-rata rakyat Johor ditemui berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan dengan belanjawan yang dilihat menepati kehendak rakyat.
Ini termasuklah daripada segi kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi pada masa ini.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil, pemberian susbidi yuran taska sebanyak RM180 sebulan kepada penjawat awam harus dipuji.
Wan Noor Wajiha Wan Mustapa, 36, yang merupakan kakitangan kerajaan melihat keputusan itu sebagai langkah terbaik terutama kepada keluarga isu rumah B40.
“Alhamdulillah, dalam usaha kerajaan untuk berjimat dan mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan, masih ada lagi bantuan khas sebegini.
“Dapatlah bantu sedikit sebanyak untuk golongan ibu seperti saya untuk membantu menampung kos sedia ada memandangkan saya juga mempunyai dua anak yang masih kecil.
“Kalau boleh kerajaan pertimbang untuk memberikan subsidi itu lebih awal bagi memudahkan urusan kami untuk membuat persediaan,” katanya.
Manakala Raja Antasya Kamarul Zaman, 39, – ibu kepada tiga orang anak pula menyifatkan iniasiatif itu sudah pasti dapat membantu mereka yang berkeluarga terutama golongan ibu tunggal dan berpendapatan rendah.
Katanya, subsidi itu sekaligus menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat,
“Syukur alhamdulillah, berita yang dibawakan ini sudah pasti memberi kelegaan kepada golongan yang disasarkan.
“Saya percaya ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil menarik nafas lega dan gembira dengan pengumuman ini,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Firdaus Padzil, 40, pula melihat keseluruhan Belanjawan 2023 yang diumumkan itu secara keseluruhannya menepati kehendak beliau sebagai rakyat.
Bagaimanapun beliau mengharapkan kerajaan dapat mengotakan janji dalam belanjawan itu.
“Saya mengharapkan apa yang dirancang dilaksanakan sepenuhnyaa oleh kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dalam masa yang sama kerajaan perpaduan terus kukuk berdasarkan teras Malaysia Madani.
“Sebagai rakyat juga secara jujurnya saya berpuas hati dengan segala perancangan yang diumumkan tadi,” katanya.
Begitu juga dengan seorang lagi kakitangan swasta, Azharulizar Abunizar, 48, yang melihat Belanjawan 2023 sebagai usaha merancakkan lagi pelbagai sektor di negara ini.
Bagaimanapun beliau mengharapkan semua perkara yang diumumkan dapat dilaksanakan bukan “hangat-hangat tahi ayam”.
“Secara jujur saya sebagai rakyat mahukan semua yang dikatakan itu mampu direalisasikan dan tepat para masanya.
“Kami tidak mahulah apa yang dijanjikan hanya tinggal janji,”katanya. – MalaysiaGazette