KUALA LUMPUR – Sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 5.3% pada tahun 2023 dipacu oleh permintaan domestik walaupun aktiviti global menyederhana.
Pertumbuhan ini didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan; maklumat dan komunikasi; makanan dan minuman dan penginapan, serta kewangan dan insurans.
Menurut Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, sektor pembuatan diunjur meningkat sebanyak 3.9% pada tahun ini dipacu oleh pengembangan dalam semua subsektor walaupun dalam keadaan aktiviti menyederhana.
Industri beroerientasikan eksport dijangka berkembang kukuh dengan segmen elektrik dan elektronik (E&E) terus memacu pertumbuhan sektor.
Manakala sektor pertanian diunjur berkembang sebanyak 1.1% berikutan peningkatan berterusan subsektor kelapa sawit, ternakan dan perikanan.
Subsektor kelapa sawit dijangka berkembang didorong pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi berikutan penawaran tenaga buruh yang bertambah baik.
Seiring dengan jangkaan pengeluaran yang lebih baik, purata MSM diunjur sekitar RM4,000 setiap tan.
Penyiapan projek saluran paip baharu di Sarawak dijangka merancakkan pengeluaran gas asli terutama pada separuh kedua 2023.
Selain itu, peningkatan permintaan rakan dagang utama dan baharu daripada segmen industri dan petrokimia domestik dijangka terus menyokong pertumbuhan subsektor gas asli.
Namun, pengeluaran minyak mentah dan kondensat diunjur menyederhana kerana penurunan kadar pengeluaran dari medan sedia ada di Semenanjung Malaysia.
Sehubungan itu, sektor perlombongan dianggar berkembang sebanyak 1.2% pada tahun ini.
Dari aspek harga, minyak mentah Brent diunjur mencatatkan purata harga AS$80 setong berikutan jangkaan permintaan lebih rendah disebabkan ekonomi dunia menyederha.
Dalam pada itu, sektor pembinaan pula dijangka meningkat sebanyak 6.1% berikutan prestasi lebih baik dalam semua subsektor.
Projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 2 dan projek infrastruktur termasuk pembinaan ECRL, LRT3 dan rangkaian selular generasi kelima (5G) dijangka menerajui subsektor kejuruteraan awam. – MalaysiaGazette