Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menambah caruman sebanyak RM500 bagi ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kurang RM10,000 dalam Akaun 1.

Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2 juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 billion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa membentangkang Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan.

Pada masa yang sama, kerajaan berharap rakyat yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi akan terus menyumbang supaya semua lapisan pencarum mendapat manfaat. – MalaysiaGazette