Rata-rata warga kota menaruh harapan tinggi selepas mendengar pelbagai inisiatif ditawarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkannya di Dewan Rakyat semalam. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam diharap menjadi realiti dan bukan sekadar janji kosong.

Rata-rata warga kota menaruh harapan tinggi selepas mendengar pelbagai inisiatif ditawarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkannya di Dewan Rakyat semalam.

Seorang pemandu bas pelancong, Habil Mat Amin, 35, lega susulan terdapat kenaikan dalam bantuan tunai kepada golongan B40 menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Saya bersyukur bila STR dinaikkan sampai RM3,100 terutama golongan macam saya yang kerja gajinya tidak menentu.

“Dulu, saya dapat Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), itu sangat membantu. Jadi saya harap STR yang ditawarkan ini jadi kenyataan, bukan sekadar janji kosong,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Habil Mat Amin

Habil juga berharap Kerajaan Madani dapat memulihkan ekonomi kerana dia sendiri ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ memandangkan sektor pekerjaannya masih belum kembali pulih.

Bagi orang kelainan upaya (OKU), Syed Mohd Noor Ameerulmukminin Noordin, 35, pula berharap kerajaan tidak akan menyisihkan golongan sepertinya dengan memberikan peruntukan yang sewajarnya.

Syed Mohd Noor Ameerulmukminin Noordin

“Saya dengar semalam Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) diberikan RM300 sebulan. Saya bersyukur tapi kalau boleh kerajaan naikkan jumlah itu sebab kos perbelanjaan saya sebulan pun paling kurang RM500,” ujarnya yang kudung kaki kiri akibat kemalangan jalan raya ketika berusia 22 tahun.

Munawar Muhd Nawi, 62, pula berpandangan pembentangan belanjawan semalam tidak memberi impak yang besar kepada rakyat.

Kata penghibur yang telah menjadi badut 26 tahun itu, jika kerajaan tidak mampu memberi bantuan wang tunai yang banyak, ia memadai digantikan dengan pelbagai pembinaan yang memberi kesenangan kepada rakyat.

Munawar Muhd Nawi

“Kalau kerajaan tak boleh bagi wang tunai mencukupi untuk ringankan beban rakyat, sewajarnya kerajaan buatlah pembangunan untuk mudahkan rakyat.

“Contoh mudah kita boleh tengok seperti Klinik 1 Malaysia, Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC). Itu semua memudahkan kita sebagai rakyat,” ulasnya.

Bagaimanapun, Munawar tetap melahirkan penghargaan kepada kerajaan hari ini yang menunjukkan komitmen untuk membantu kelangsungan hidup rakyat.

Semalam, Perdana Menteri membentangkan belanjawan yang bertema Membangun Malaysia Madani dengan memberi tumpuan kepada kelangsungan hidup rakyat serta ketahanan ekonomi. – MalaysiaGazette