Isham Jalil.- Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil akan bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan telah menyerahkan borang pencalonan semalam.

Dalam satu surat terbuka sepanjang 37 perenggan beliau menegaskan, mahu terus membawa suara akar umbi ke peringkat tertinggi parti dan meneruskan perjuangan UMNO.

Katanya, untuk tujuan itu adalah penting untuk beliau mendapat mandat akar umbi melalui pertandingan.

Sekiranya menang, ia akan menjadi keabsahan demokratik yang menjadi pendorong beliau untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam parti dengan lebih berkesan.

“Saya ingin serahkan kepada akar umbi UMNO untuk menentukan sama ada saya layak diberi mandat untuk terus berada di dalam Majlis Kerja Tertinggi.

“Kalah atau menang, saya serahkan sepenuhnya kepada akar umbi dan kepada keizinan Allah SWT.

“Dan sama ada presiden melantik saya semula sebagai Ketua Penerangan selepas pemilihan ini, saya serah sepenuhnya jua kepada budi bicara beliau dan dengan izin Allah SWT,” kata Isham yang juga MKT UMNO lantikan pada masa sekarang.

Isham berkata, beliau masih bersama dengan UMNO kerana yakin dengan perjuangan parti itu dan kekal bersama pada saat UMNO ditekan dan pemimpinnya ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Malah disebabkan perjuangan, Isham berkata, beliau tidak pernah mengambil elaun bulanan ketika menjadi Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor pada tahun 2020 sehingga 2022 dan Ketua Penerangan UMNO sejak dilantik dua bulan  lepas.

“Saya berjuang bukanlah kerana wang atau jawatan dan saya bukanlah kaki bodek untuk jawatan.

“Selepas beberapa tahun berjuang tanpa apa-apa dan tanpa rasa takut atau mengalah walaupun sentiasa ditekan oleh pihak berkuasa dan berhadapan menentang parti lawan, mungkin Allah SWT telah membuka hati pemimpin-pemimpin UMNO untuk melantik saya ke jawatan-jawatan di atas sebelum ini.

“Saya ucap terima kasih kepada pemimpin-pemimpin parti dan Presiden UMNO kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas jawatan dalam parti,” katanya.

Dua masalah yang paling utama yang sering beliau perjuangkan selama ini selain rasuah dan ekonomi adalah masalah air dan banjir yang melibatkan isu pengurusan alam sekitar.

Katanya, jika terus berusaha masalah terbabit dapat diatasi dan akan menjadikan kehidupan rakyat lebih mudah.

“Ini adalah perjuangan saya, untuk terus berfikir dan berkhidmat untuk mengurangkan beban rakyat daripada masalah-masalah ini ke arah kehidupan rakyat yang lebih baik.

“Di samping membina dan merubah sistem politik di Malaysia supaya menjadi lebih bersih dan positif. Semoga perjuangan ini diberkati oleh Allah SWT, insya-Allah,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast