Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Pasukan bertindak khas menangani ketirisan subsidi minyak diesel telah mula digerakkan bulan lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Ketua Setiausaha (KSU) KPDN, Datuk Azman Adam sendiri mengetuai pasukan tersebut.

Beliau berkata, sejumlah 2,100 anggota telah digerakkan bagi mengatasi wujud ketirisan dalam subsidi diesel berjumlah RM10 bilion tahun lalu.

“Sejak sebulan lalu dengan bersama Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman, telah meronda dan melihat sendiri logistik di semua lokasi penting khususnya di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

“KPDN khuatir di situlah berlaku banyak ketirisan diesel. Selain itu di pangkalan-pangkalan nelayan yang dikhuatiri berlaku ketirisan diesel dalam kalangan mereka.

“Jadi, penguatkuasaan itu adalah sesuatu yang penting dan kita ada 2,100 anggota penguat kuasa yang akan menyambut cabaran bagi meminimumkan ketirisan diesel di seluruh negara,” katanya pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh mengenai ketirisan dalam subsidi diesel pada pembentangan Belanjawan 2023 semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai diseleweng pada 2022.

Banyak tangkapan dibuat menerusi beberapa operasi dilancarkan termasuk Ops Terjah yang dilancarkan Disember lalu.-MalaysiaGazette