Wakil peniaga, Mohd Kamal Ariffin, 57, yang mengusahakan restoran di situ berkata, majoriti pengusaha perniagaan di situ tidak pernah mendesak kerajaan memindahkan bazar berkenaan ke lokasi lain tahun ini dengan alasan kononnya mereka kerugian puluhan ribu ringgit.
Sebaliknya perniagaan mereka bertambah baik apabila bazar yang dikatakan terpanjang di Malaysia itu diadakan di Jalan Klebang Utama sehingga jualan peniaga meningkat lebih 100 peratus berbanding hari biasa.
“Sebenarnya, kami tiada masalah jika penganjuran Bazar Aidilfitri Mega Klebang tahun ini terus diadakan di sini seperti lima atau enam tahun lalu selagi mana khemah yang didirikan itu tidak menghalang laluan masuk ke premis kami.
“Malah perniagaan kami bertambah baik sehingga hasil jualan meningkat lebih 100 peratus kerana jumlah bilangan pengunjung yang semakin meningkat setiap kali penganjuran bazar berkenaan,” katanya ketika ditemui media di sini malam tadi.
Pandangan sama disuarakan peniaga kedai runcit, Nahar Aji, 52, yang terpaksa melanjutkan perniagaannya sehingga jam 4 pagi pada setiap kali Ramadan kerana jumlah pelanggan bazar yang tinggi berbanding hari biasa.
“Kalau hari biasa, saya hanya buka kedai setakat pukul 1 pagi tapi bila ada bazar Aidilfitri ini, sepanjang Ramadan saya lanjutkan waktu perniagaan sehingga 4 pagi kerana jumlah pengunjung yang amat luar biasa.
“Hasil jualan juga meningkat lebih 100 peratus berbanding hari biasa jadi tiada sebab mengapa kami mahu bazar ini dipindahkan kononnya peniaga premis mengalami kerugian,” katanya.
Peniaga pakaian, Abdul Rahman Sidik, 54, turut berharap tapak itu dapat dikekalkan kerana sudah mempunyai jenamanya yang tersendiri sehingga dikenali sebagai bazar Aidilfitri mega terpanjang di Malaysia.
“Malah kita khuatir jika bazar ini dipindahkan ke tempat baharu iaitu di pesisiran pantai Klebang, ia hanya akan mengundang musibah seperti pernah berlaku dua tahun lalu apabila khemah peniaga diterbangkan ribut.
“Penganjuran bazar di tepi pantai hanya akan membahayakan nyawa dan keselamatan peniaga serta pengunjung yang tentunya tidak mahu kegembiraan mereka berakhir tragedi akibat bencana alam,” katanya. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast