Hishamudin sudah berniaga di bawah khemah kanvas dan zink sejak lebih 10 tahun di hadapan sebuah stesen minyak di Taman Desa Molek, Ayer Molek Melaka, tidak sabar jika berpeluang mendapatkan tapak gerai untuk meneruskan perniagaannya di Air Molek, Melaka.

MELAKA – “Baguslah Perdana Menteri prihatin terhadap nasib penjaja kecil terutamanya yang berniaga tepi jalan tanpa kemudahan yang sempurna”.

Itu luahan peniaga air, Hishamudin Kamilan, 44,  yang berharap inisiatif Belanjawan 2023 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dapat disegerakan.

Beliau berharap akan mendapat ruang niaga yang bersih dan teratur.

Hishamudin yang sudah berniaga di hadapan stesen minyak di Taman Desa Molek, Ayer Molek di sini sejak 10 tahun lalu  tidak sabar untuk berpindah ke gerai baharu sekiranya diberi peluang kelak.

Keadaan khemah jualan penjaja beratapkan zink di hadapan sebuah stesen minyak di Taman Desa Molek, Ayer Molek, Melaka

“Saya harap dengan terbinanya 3,000 gerai dan kiosk baharu atau yang dinaik taraf, penjaja lama perlulah diberi keutamaan seperti kami di sini contohnya yang sudah 10 tahun berniaga di tepi jalan.

“Dulu saya pakai khemah kanvas, sekarang zink dan akan datang harapnya dapatlah kiosk yang dilengkapi kemudahan yang lebih bersih dan selamat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat mengumumkan sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi membina dan menaik taraf 3,000 gerai dan kiosk di seluruh negara bagi kumpulan penjaja kecil.

Norhayati Dora

Berita gembira itu turut disambut baik peniaga nasi berlauk, Norhayati Dora, 40, yang menyifatkan Perdana Menteri ternyata tidak melupakan penyumbang kecil kepada ekonomi negara itu.

“Kami pun kalau boleh tak nak selamanya berniaga secara tidak sistematik dan merisikokan pelanggan kerana berada di tepi jalan tanpa sebarang penghadang.

“Mungkin kalau ada kiosk dibina di sini, keselamatan peniaga dan pelanggan lebih terjamin selain tidaklah menyakitkan mata memandang bila adanya gerai yang lebih seragam,” katanya.

Jazlita Osman

Peniaga kuih muih, Jazlita Osman, 40, turut melontarkan pandangan sama dan berharap kawasan Ayer Molek bakal mempunyai lebih banyak gerai dan kiosk penjaja yang sistematik.

“Kalau dilihat berbanding di tempat lain, Taman Desa Molek ini majoriti penduduk adalah daripada kumpulan B40, jadi tentulah gerai dan warung akan menjadi pilihan pelanggan,” katanya – MalaysiaGazette