Logo Permodalan Nasional Berhad di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi berhemat dan pembangunan saksama demi menggalakkan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia.

Berkenaan peningkatan had pelaburan ASB, ASB 2 dan saiz dana ASM sepertimana yang telah diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim – PNB dengan sukacitanya memaklumkan bahawa had
pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) akan dinaikkan ke RM300,000.

“Sebelum ini, kedua-dua unit amanah ini masing-masing mengekalkan jumlah had pelaburan sebanyak RM200,000.

“Seiring iltizam Kerajaan Perpaduan yang memastikan kesaksamaan masyarakat berbilang kaum, PNB turut berbesar hati memaklumkan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) akan ditingkatkan sebanyak RM5 bilion,” kata PNB dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman ini selaras dengan usaha PNB untuk terus menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia.

PNB akan membuat pengumuman berasingan mengenai tarikh berkuat kuasanya peningkatan ini serta terma dan syarat yang berkaitan.

Berkenaan penggabungan Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, Yayasan Ekuiti Nasional dan Yayasan Pelaburan Bumiputra, PNB akan memberi sokongan terhadap cadangan pemusatan institusi-institusi dengan fungsi yang hampir sama agar lebih efektif dalam menunaikan mandat masing-masing.

“Bagi memastikan keberkesanan operasi, PNB akan bekerjasama dengan pihak yang berkenaan,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette