Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang aktif di negara ini.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sindiket itu ditumpaskan melalui beberapa siri serbuan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor pada 21 Februari  lalu.

“Kejayaan serbuan ini berdasarkan hasil maklumat, risikan dan pemantauan yang dilakukan sejak beberapa bulan yang lalu.

“Sindiket ini merupakan dalang di sebalik beberapa skim pelaburan disyaki palsu yang baru sahaja ditubuhkan dengan menawarkan pelaburan dengan kadar pulangan yang tinggi.

“Siasatan juga mendapati tawaran pelaburan dibuat oleh sindiket berkenaan melalui pelbagai medium di laman sosial,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Tambah Noorsiah, sindiket skim-skim pelaburan tidak wujud tersebut dikenali sebagai Alpha Mineral Global, Asia Investment VIP (AIV Trading), Max Profit Guides Empire (Max Profit) dan CGC Revolution and Management (CGC).

Hasil daripada serbuan yang dilaksanakan oleh pasukan JSJK, seramai 29 individu disyaki ahli sindiket berkenaan yang terdiri daripada 19 lelaki dan 10 wanita warga tempatan  diberkas polis.

“Kesemua suspek yang berusia di antara 24 hingga 38 tahun berjaya mendapat perintah tahanan reman antara satu hingga empat hari bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu.

Noorsiah juga memaklumkan polis juga berjaya membuat rampasan barang antaranya 75 unit telefon bimbit, wang tunai RM14,501, 73 keping kad debit ATM,satu kad pelajar, sembilan batang kunci kenderaan, 64 jenis barang kemas, fail, buku cek, pelbagai resit,14 komputer riba, tablet, surat perjanjian pinjaman dan dokumen salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

PDRM menjangkakan jumlah mangsa yang terlibat dalam sindiket penipuan itu adalah masih kecil memandangkan skim pelaburan berkenaan baharu diwujudkan.

Sehubungan itu beliau meminta mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa sindiket ini agar untuk tampil segera membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

“Pada masa yang sama, PDRM juga mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

“Sila dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Security Commission (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim-skim yang meragukan,’ tegasnya. – MalaysiaGazette