Kassim Noor Mohamed

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengikut protokol termasuk berunding dengannya sebelum siasatan dilakukan terhadap hakim  mengundang polimek.

Pakar kriminologi Nottingham Trent University, Dr Kassim Noor Mohamed berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan beberapa protokol kepada badan penguat kuasa termasuk SPRM yang mahu menyiasat hakim menimbulkan persoalan.

Tegas beliau, SPRM tidak perlu merujuk kepada mana-mana pihak sekiranya mahu memulakan siasatan terhadap hakim jika badan itu mendapat aduan awam.

Kassim berpandangan, Akta SPRM 2009 tidak memperuntukkan sebarang protokol yang memerlukan badan penguat kuasa itu berunding dengan mana-mana pihak sebelum memulakan siasatan terhadap seorang hakim.

Akta terbabit menjamin kebebasan badan penguat kuasa antirasuah berkenaan dalam menjalankan peranannya untuk menyiasat mana-mana pihak termasuk hakim.

“Beberapa perkara dibangkitkan oleh Ketua Hakim Negara dalam keputusannya bahawa siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi) tidak mengikut protokol menarik perhatian dan menimbulkan beberapa persoalan untuk orang awam.

“Mengikut Akta SPRM 2009, tiada sebarang protokol yang perlu diikuti berhubung sebarang aduan terhadap hakim yang diterima suruhanjaya itu.

Apabila terdapat aduan, SPRM memiliki kebebasan untuk menjalankan siasatan tanpa merujuk kepada mana-mana pihak. Perkara ini mengetengahkan kebebasan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan Berita Harian, Kassim turut mempersoalkan sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan itu bererti institusi kehakiman menceroboh kuasa eksekutif apabila memaksa badan penyiasat perlu berunding dengan institusi kehakiman sebelum menjalankan siasatan.

Persoalan juga timbul sama ada kehakiman boleh menjalankan siasatan terhadap institusi itu secara sendiri atau memiliki kuasa untuk membenar atau menghalang badan lain untuk menjalankan siasatan.

“Malah protokol seumpamanya tidak pernah berbangkit dalam siasatan lampau terhadap hakim kanan antaranya dalam kes siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin.

“Jika ada aduan salah laku daripada awam terhadap anggota institusi kehakiman, tidakkah wajar ia dialu-alukan dan meminta hasil siasatan diperoleh segera bagi menjaga nama baik institusi?.

“Persoalan ini bukanlah untuk mencabar keputusan Ketua Hakim Negara tetapi untuk mendapatkan penjelasan bagi manfaat orang awam,” katanya.

Semalam, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tengku Maimun memutuskan  siasatan oleh SPRM terhadap Mohd Nazlan dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman, dan tidak mengikut protokol.

Tengku Maimun berkata, cara penyiasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan dengan menghebahkannya melalui kenyataan akhbar, kelihatan tidak menjaga keyakinan terhadap kebebasan badan kehakiman.

Beliau berkata, siasatan terhadap Nazlan yang dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan terhadapnya dilakukan secara bona fide ​​(dengan niat baik).- MalaysiaGazette