Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melahirkan penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen petang tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kepimpinan tertinggi PDRM mengalu-alukan beberapa inisiatif yang diumumkan.

“Antara yang sangat dinantikan, penubuhan sebuah unit khas di bawah Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak yang diumumkan dalam pembentangan bajet tersebut.

“Unit khas ini akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam usaha untuk mengesan pelaku (pornografi kanak-kanak) yang terlibat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Acryl Sani, penubuhan unit khas berkenaan akan memberikan impak positif terhadap usaha kerajaan dalam membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak di dalam negara ini.

Malah pengumuman penubuhan unit khas itu tepat pada masanya untuk memastikan kanak-kanak sentiasa dapat dilindungi daripada menjadi mangsa jenayah pornografi.

Dalam pada itu, beliau menghargai peruntukan sebanyak RM10 juta seperti yang diumumkan kerajaan dalam bajet yang sama sebagai geran pengoperasian bagi mengukuhkan peranan National Scam Response Centre (NSRC) mengekang jenayah penipuan dalam talian atau scam.

Katanya, PDRM juga menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan-peruntukan yang akan dinikmati secara langsung oleh warga PDRM iaitu peruntukan sebanyak RM18.5 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara.

Acryl menjelaskan, peruntukan hampir RM1 bilion untuk agensi-agensi di bawah KDN bagi memperkasakan keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan untuk PDRM yang mampu mengangkat integriti dan profesionalisme ke tahap lebih tinggi.

“Pembinaan Ibupejabat Polis Kontinjen Perak dan kuaters polis baharu dengan kos RM450 juta suatu manfaat yang sangat dinantikan oleh pegawai kanan dan anggota polis yang akan menyediakan kemudahan tempat tinggal yang kondusif lebih selamat kepada warga PDRM.

“Bukan sekadar itu, penambahan 42 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), Imigresen, Esscom dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi memperketat kawalan sempadan negara menambah semangat dalam menjamin keselamatan di sempadan tanahair.

“Perkara yang penting untuk PDRM iaitu peruntukkan RM500 juta untuk menyelenggara rumah keluarga Angkatan Tentera dan membaik pulih kuaters kediaman dan institusi di bawah KDN satu lagi langkah kerajaan yang sangat dialukan.

“PDRM akan memastikan peruntukan yang diumumkan oleh kerajaan melalui belanjawan 2023 dimanfaat sepenuhnya bagi memelihara ketenteraman dan keamanan negara dalam membangun Malaysia Madani,” kata Acryl Sani.- MalaysiaGazette