Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA , 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang menurunkan sasaran defisit kepada lima peratus tetapi menaikkan perbelanjaan pembangunan kepada RM97 bilion dianggap sesetengah pakar ekonomi sebagai terlalu optimistik.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosial Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata, peningkatan perbelanjaan pembangunan dan penurunan defisit menunjukkan kerajaan yakin dengan kutipan hasil yang tetap kukuh pada 2023.

Beliau bagaimanapun berpendapat kerajaan mungkin terlalu optimistik mengenai hasil kutipan cukai syarikat.

“Peningkatan perbelanjaan pembangunan dan pengurangan defisit bergantung kepada kemampuan kerajaan mengutip hasil.

“Dengan jangkaan bahawa rentak ekonomi global akan bertukar perlahan, jangkaan peningkatan kutipan cukai syarikat sebanyak 17.4 peratus dikhuatiri adakah terlalu optimistik,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Heng Guie berkata, kebanyakan penganalisis saham yang dijumpainya juga berpendapat bahawa jangkaan peningkatan kutipan cukai syarikat mungkin sukar dicapai.

“Data beberapa tahun kebelakangan ini juga menunjukkan bahawa hasil sebenar kerajaan adalah kurang daripada sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Beliau juga berpendapat kerajaan tidak dapat mengenal pasti sumber pendapatan yang mampan dan cara yang selalu digunakan sebaliknya adalah meminta lebih banyak dari Petronas untuk menampung perbelanjaan.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan boleh melancarkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana ia adalah hasil yang lebih mampan,” katanya.

Sementara itu, pensyarah dari Universiti Utara Malaysia, Dr. Soon Jan Jan berkata, bajet yang lebih besar adalah mengkhuatirkan.

Beliau berkata, hutang negara dijangka akan mencecah 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kami berharap supaya keadaan (hutang) seperti di Sri Lanka tidak akan berlaku di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette