KUALA LUMPUR – Bengang tidak dibenarkan masuk ke kawasan perumahan untuk menghantar makanan di kediaman yang tidak berpenghuni punca seorang pengawal keselamatan ditendang di pos pengawal Taman Bukit Meringin, Sungai Ramal Luar, Kajang, pada malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian jam 10.52 malam seorang pengawal keselamatan warga Nepal tidak membenarkan penghantar makanan itu masuk ke kawasan perumahan selepas memaklumkan rumah yang ingin ditujunya kosong.

“Suspek kemudian berang dan tidak puas hati dengan sikap mangsa lalu turun daripada motosikalnya dan melepaskan satu tendangan di perut mangsa.

“Kejadian disaksikan oleh saksi di situ yang kebetulan mahu masuk ke kawasan perumahan. Kejadian dirakam dengan menggunakan dashcam kenderaan saksi,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kajang sedang mengesan suspek yang berusia, 42 tahun.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette