Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib bergambar bersama peserta konvoi bot laju Sungai Pahang di Jeti Riverfront, Pekan, Pahang.

PEKAN – Aktiviti sukan air seperti konvoi bot laju Sungai Pahang yang diadakan di daerah Pekan hari ini merupakan inisiatif yang boleh menarik kedatangan pelancong, sekali gus menggalakkan ekonomi masyarakat setempat.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, ia turut memberi manfaat kepada peniaga-peniaga kecil di sekitar Jeti Riverfront Pekan, di sini.

“Tahniah kepada penganjur. Ini merupakan program yang julung kali diadakan dan merupakan satu program yang amat menarik.

“Saya harap penganjuran aktiviti sebegini akan diteruskan. Kalau boleh biar ia jadi aktiviti tahunan supaya penggemar aktiviti bot laju dan pelancong akan tertunggu-tunggu program bot laju Sungai Pahang,” katanya.

Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian aktiviti konvoi bot laju Sungai Pahang di Jeti Riverfront yang disertai 250 buat bot dari Maran, Jerantut, Bera dan Pekan.

Selain boleh dijadikan tarikan pengunjung luar untuk ke Pekan, program terbabit juga katanya, menjadi platform mengeratkan silaturrahim antara nelayan dan peminat bot laju sungai.

Sebahagian peserta konvoi bot laju Sungai Pahang di Jeti Riverfront, Pekan hari ini

Justeru, beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan serta dijadikan acara tahunan.

“Kita pun boleh masuk dalam kalendar pelancongan tahunan.

“Kalau kita boleh tetapkan contohnya bulan Februari untuk pesta bot laju ni, mungkin kita boleh laksanakan dengan skala yang lebih besar,” tambah Nizar.

Sementara itu, Pengerusi Team Formula Future Power Boat, Muhammad Khalil Abd Wahab, 38 bersetuju jika program konvoi bot laju itu dimasukkan dalam kalendar tahunan pelancongan Pahang.

Muhammad Khalil Abd Wahab

Beliau yang mengemudi botnya dari Temerloh bersama 15 ahli pasukan lain berkata, program itu berbeza kerana sebelum ini banyak acara melibatkan bot laju adalah acara perlumbaan.

“Sebelum ni saya banyak sertai perlumbaan bot laju di Temerloh.

“Kali ni, termasuk pasukan kami, terdapat 60 buat bot laju yang mengambil bahagian bergerak daripada Temerloh pada jam 9 pagi semalam.

“Menariknya, pasukan kami terdiri daripada ahli berumur 18 tahun sehingga 70 tahun. Terdapat empat orang warga emas,” katanya kepada pemberita.

Pelepasan Konvoi Bot Laju Sungai Pahang disempurnakan Pegawai Perhubungn Awam Jabatan Penerangan Pahang, Saiful Azly Ramali di Temai Hulu, di sini, pada jam 9.20 pagi hari ini.

Kira-kira 216 buat bot konvoi dari Maran, Jerantut dan Bera disertai 34 buah bot dari Pekan tiba di Jeti Riverfront Pekan kira-kira sejam kemudian .- MalaysiaGazette