Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023 dapat memberi impak yang optimum kepada pembangunan pendidikan negara menerusi tujuh teras yang telah digariskan. Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara, Negara Sejahtera.

Menyambut baik pengumuman belanjawan, KPM menerima peruntukan tertinggi iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas, sekali gus menyaksikan sektor pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan.

”Peruntukan yang diumumkan ini akan dapat memacu komitmen berterusan KPM untuk meningkatkan lagi kualiti infrastruktur sedia ada di sekolah-sekolah,” katanya dalam kenyatan di sini.

Dalam Belanjawan 2023, antara fokus utama kerajaan untuk KPM adalah meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan para guru serta murid-murid.

KPM berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, RM2.3 bilion adalah untuk membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di sekolah-sekolah termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur 380 buah sekolah daif seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas, selain RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah
Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sebanyak RM560 juta juga diperuntukkan untuk pembinaan tujuh buah sekolah baharu, antaranya SK Paya Dusun di Terengganu, SMK Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Peruntukan itu juga bagi melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), selain RM15 juta untuk menyokong usaha NGO mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.

KPM juga menerima peruntukan RM777 juta berbanding RM625 juta pada tahun lepas, untuk menyediakan makanan berkhasiat di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan 700,000 murid.

Selain itu RM108 juta pula diperuntukkan untuk Program Makanan Prasekolah di bawah KPM yang akanmemanfaatkan lebih 240,000 orang murid. KPM juga akan membuat pemantauan ke atas penyedia makanan dalam memastikan makanan yang disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat.

KPM komited untuk mengatasi isu kemiskinan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah melalui program-program ini.

Selari dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital maka, bagi tahun 2023, kerajaan juga akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 buah komputer riba selaras dengan teras ketujuh KPM dalam meningkatkan keupayaan digital di sekolah.

Bagi memupuk perpaduan di samping mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan NGO dalam pembangunan anak-anak di sekolah, RM20 juta diperuntukkan bagi perlaksanaan program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara.

Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada tiga buah agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan, yang mana dua adalah di bawah KPM iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). – MalaysiaGazette