Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu mula beroperasi 16 Jun 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) berpendapat penjimatan bajet dalam projek MRT3 boleh dicapai kerana projek ini akan dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka dengan kriteria dan proses yang terangkum.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, syarikat itu komited dalam memastikan tadbir urus yang mantap pada setiap peringkat projek dan akan terus melaksanakan kawalan kos yang berhemat.

“MRT Corp akan mengambil berat sebarang kesan terhadap pihak berkepentingan semasa peringkat pengambilan tanah dan pembinaan. Ianya akan diuruskan dengan penuh pertimbangan,” katanya yang menyambut baik komitmen kerajaan dalam melaksanakan Projek MRT3 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Bajet 2023, Jumaat lalu.

Dalam Belanjawan 2023, Anwar berkata, kerajaan akan mengkaji semula perincian projek MRT3 untuk memastikan nilai terbaik dan yakin dapat mencapai penjimatan tambahan sekurang-kurangnya di bawah RM45 bilion.

Pada tahun 2018, projek ini dianggarkan sebanyak RM68 bilion.

Semakan ini selaras dengan pembaharuan tatakelola untuk mengurangkan kos perolehan bagi mencapai penjimatan yang akan diagihkan kepada rakyat semula.

Projek MRT3, sebuah komponen yang penting untuk melengkapkan Pelan Induk Pengangkutan Awam Lembah Klang, akan dilaksanakan seperti yang dirancang dengan pengurangan bajet.

Ia bakal melingkari pinggiran bandaraya Kuala Lumpur dan mempunyai jajaran sepanjang 51 kilometer.

Jajaran MRT3 akan bersambung dengan laluan MRT, LRT, KTM dan Monorel melalui 10 stesen pertukaran. Apabila siap kelak, rangkaian rel bandar ini akan merancakkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang.

MRT3 bakal melancarkan pergerakan penumpang di seluruh rangkaian transit rel Lembah Klang.

Projek ini juga akan meliputi kawasan-kawasan bandar yang masih tidak mendapat akses kepada perkhidmatan transit rel, membangunkan sebuah hab pengangkutan utama di Titiwangsa dan membuat pelaburan bagi memastikan ketersambungan pertama dan terakhir perjalanan.

Selain daripada program pembinaan, Projek MRT3 bakal memangkin pembangunan rumah mampu milik di sepanjang koridor jajaran bagi memenuhi aspirasi Malaysia Madani, menggalakkan daya cipta tempatan dalam teknologi IBS serta teknologi sistem, dan meningkatkan kemampanan rantaian bekalan di seluruh negara. – MalaysiaGazette