Ahmad Zahid Hamidi. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2023.

GUA MUSANG – Kerajaan tidak akan mengambil masa terlalu lama dalam proses tender semula membabitkan enam projek tebatan banjir, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, hal ini kerana kawasan projek terbabit telah dikenal pasti dan skop kerja sudah dilaksanakan.

“Pada hemat saya proses tender semula untuk enam tebatan banjir ini tidak akan mengambil masa terlalu panjang kerana dulu kita melakukan tender terpilih.

“Oleh itu, untuk memastikan tender ini terus berjalan kaedah perolehan harus dilakukan secara penelitian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kesedar di Gua Musang, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat mengumumkan enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

Projek itu melibatkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor dan pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor serta projek lain iaitu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengarahkan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya menyegerakan bayaran wang ihsan kepada mangsa banjir yang layak.

“Arahan saya kepada NADMA supaya bayaran diberi sebaik mangsa banjir kembali ke rumah dan bantuan itu boleh digunakan untuk memperbaiki barangan rumah yang rosak,” katanya. – Bernama