Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berucap pada Forum Antarabangsa Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia di Kompleks F, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Komitmen Wisma Putra tidak akan berbelah bahagi untuk memerangi Islamofobia di peringkat antarabangsa bersama pihak berkepentingan lain dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia memainkan peranan utama dalam menerajui agenda Malaysia Madani untuk mempromosikan ajaran Islam, dan memerangi Islamofobia dalam forum antarabangsa.

“Melalui nilai dan prinsip yang dipegang oleh Malaysia Madani, ia akan memulihkan kepercayaan Malaysia dalam kalangan umat Islam.

“Islamophobia hanya boleh ditangani dengan sewajarnya jika semua pihak bekerjasama untuk memeranginya.

“Kita mesti bersuara menentang prasangka dan ketidakadilan, menyokong saudara seIslam kita,” katanya berucap pada Persidangan Antarabangsa: Malaysia Madani mendepani Cabaran Islamfobia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Malaysia MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berteraskan aspirasi masyarakat bertamadun, berkemahiran dan inklusif berdasarkan enam nilai teras, iaitu Kemampanan, Kemakmuran, Inovasi, Hormat, Amanah dan Belas Kasihan.

“Visi ini diterima baik oleh saudara dan saudari Islam di seluruh dunia.

“Masyarakat sebegini tidak akan menggunakan cara lain selain toleransi dan keharmonian.

“Ia adalah masyarakat berakar umbi dengan rasa hormat, kepercayaan, dan belas kasihan yang disemai dalam diri semua warganya tanpa mengira akidah dan kepercayaan mereka,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya persidangan antarabangsa hari ini akan memulakan bergerak untuk membangunkan rangka kerja, strategi, dan pelan tindakan untuk memerangi Islamofobia.

“Saya percaya persidangan ini adalah platform penting untuk memupuk dialog dan merangsang perbincangan intelektual dalam kalangan penggubal dasar, pakar, sarjana dan peguam bela dari seluruh dunia.

“Persidangan ini diharapkan mengkaji punca dan proses, serta mengenal pasti jawapan mencukupi yang diperlukan untuk menangani isu-isu paling mendesak umat Islam; Islamofobia, intoleransi agama, dan diskriminasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast