DENGKIL — Jumlah premis yang menawarkan Menu Rahmah dijangka terus meningkat dua kali ganda pada masa akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kini terdapat lebih 700 premis berdaftar menyediakan Menu Rahmah, tidak termasuk syarikat francais.

“Jumlah ini tidak termasuk syarikat-syarikat francais seperti Marry Brown, Burger King.

“Awal bulan depan McDonald’s, Kentucky Fried Chicken (KFC) akan turut menyertai inisiatif ini, termasuk Old Town White Coffee yang telah menawarkan Menu Rahmahnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Menu Rahmah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Lebuhraya ELITE (arah Selatan), pagi ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) menunjukkan Menu Rahmah pada Program tinjauan pelaksanaan Menu Rahmah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 27 FEBRUARI 2023.

Beliau merasmikan Menu Rahmah itu bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Hadir pada majlis, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hudup, Fuziah Salleh, Pengarah KPDN Melaka, Datuk Norena Jaafar dan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin.

Menurut Salahuddin, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada masyarakat yang mengatakan menu ini tidak bermutu atau tidak berkhasiat.

“Kualiti dan kuantiti tidak pernah rakyat mengadu. Yang kita dengar dua tiga hari ini adalah rezeki mereka bertambah.

“Yang mereka kata dulu tak ramai pelanggan, sekarang ramai pelanggan selepas menyediakan Menu Rahmah,” ujarnya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemain industri sektor pembuatan sebagai usaha meringankan kos penyediaan Menu Rahmah.

“Selepas ini saya akan terus berjumpa dengan pihak yang menjadi pengeluar makanan, atau manufacturing centre. Mungkin di sana nanti kita akan bincang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mensasarkan lebih daripada 100 gerai makanan beroperasi di kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang 1,130 kilometer di rangkaian lebuh raya itu menawarkan Menu Rahmah menjelang pertengahan Mac ini.

Fasa Pertama Menu Rahmah untuk pengguna lebuh raya yang berhenti rehat di R&R PLUS ditawarkan sejak 23 Februari lalu di beberapa R&R serta Hentian Sebelah di Wilayah Tengah lebuh raya tersebut.

Fasa Kedua yang melibatkan R&R dan Hentian Sebelah di Wilayah Utara dijangka akan dilaksanakan sebelum 2 Mac, manakala Fasa Ketiga yang melibatkan Wilayah Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pula dijadual dilaksanakan sebelum 9 Mac.

Menurut Alexander, sebanyak 101 gerai di PLUS menawarkan Menu Rahmah, termasuk jumlah keseluruhan 215 di semua lebuh raya di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast