Temubual bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengenai Pemilihan UMNO 2023-2026 di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – “Saya tidak suka langsung dengar perkataan ‘lawan’ sebaliknya saya tampil untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita. Ini pertandingan keluarga.”

Itu antara luahan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang sah mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO dalam pemilihan bulan depan.

Beliau akan berdepan dengan bekas sayap parti itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bercakap kepada beberapa media dalam satu pertemuan tertutup di Ibu Pejabat Wanita UMNO di Menara Dato Onn di sini baru-baru ini, Ahli Parlimen Parit Sulong menghormati Shahrizat dan tidak akan sesekali tercalar dengan persaingan satu lawan satu itu.

“Pada saya, ini pertandingan dalam kalangan keluarga, antara seorang mentor dan murid, Kak Jat (Shahrizat) saya lihat  persis ibu.

“Ini juga adalah satu proses penyuburan demokrasi dalam parti yang perlu kita semua raikan. Beliau sebelum ini pernah beri laluan kepada saya untuk bertanding.

“Walaupun saya akan berdepan dengan mantan ketua saya, itu langsung tidak mengurangkan rasa hormat saya pada beliau. Ini pertandingan demokrasi. Saya sedia berdepan dengan kritikan malah akan terus belajar,” katanya.

Temubual bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengenai Pemilihan UMNO 2023-2026 di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2023.

Noraini yang juga mantan Menteri Pendidikan Tinggi dalam kerajaan terdahulu positif dengan ‘restu’ kepimpinan tertinggi terhadapnya yang sekali lagi bertanding untuk mempertahankan jawatan nombor satu sayap wanita parti.

“Ingat ya, wanita sentiasa bersama kepimpinan parti. Kami dalam wanita sentiasa bersama parti, soal sama ada calon mendapat restu kepimpinan tertinggi parti atau sebaliknya tidak timbul langsung pada hemat saya.

“Saya merasakan kepimpinan parti merestui saya, dalam isu ini saya lihat kepimpinan tertinggi sentiasa menyokong dan mahu sayap wanita sentiasa diterajui oleh pemimpin setia kepada parti dan mampu menggalas tanggungjawab dengan integriti tinggi terutamanya dalam fasa-fasa sukar.

“Ini juga bukan omong kosong, contohnya ketika parti hendak saya letak jawatan sebelum ini saya sanggup dan mendapat sokongan oleh wanita-wanita lain dalam UMNO. Inilah dia semangat Wanita UMNO, kita adalah tulang belakang parti. Andai tulang belakang bengkok, sengetlah parti itu,” tegasnya.

Ketika disoal tentang ‘kelantangan’ jika hendak dibandingkan dengan lawan beliau, Shahrizat, Noraini berkata, apa yang penting bukan bercakap tentang sesuatu isu sebaliknya penyelesaian yang membawa manfaat kepada semua pihak.

“Saya tidak pernah terkilan bila ada suara-suara yang menyatakan kepimpinan saya ini lemah sebaliknya saya bangga kerana saya menerajui sayap Wanita UMNO ketika badai melanda, ketika parti UMNO kalah. Kita memang tidak boleh buat perbandingan dengan zaman dulu.

“Itu zaman mana UMNO dan BN berkuasa penuh. Saya pula pimpin masa ianya susah. Tapi kita kenalah sedar kita tidak boleh terus bernostalgia, tidak boleh banding ketika zaman Rafidah Aziz, Zaharah Sulaiman dan zaman Kak Jat (Shahrizat). Era itu kita sangatlah kuat, kita kuasai kerajaan ketika itu.

“Kini senarionya lain, politik kini sudah jauh berbeza. Apa yang saya alami dan harungi tidak sama dengan mana-mana kepimpinan wanita sebelum ini.

“Sebab itu saya kata saya bertuah, ini bukan sahaja pengalaman buat saya sebaliknya untuk Wanita UMNO itu sendiri,” ujarnya.

Minggu lepas, Shahrizat mengesahkan pencalonannya bagi bersaing dalam jawatan pernah disandangnya sebelum ini, selepas mendakwa dirinya mendapat gesaan dari kalangan pemimpin wanita akar umbi.

Untuk makluman pemilihan sayap UMNO itu akan berlangsung pada 11 Mac ini ketika Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian yang diadakan serentak di seluruh negara.

Pemilihan UMNO dijadualkan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast