PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 39 tahun kerana terlibat dalam kejadian ragut seorang wanita sehingga mangsa mengalami luka kecil di lengan dan tangan kiri di Jalan Kelochor, di sini, pada 16 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek ditahan di Pasir Puteh, pada 6.30 petang pada Sabtu lepas, hasil risikan dan intipan dijalankan pihak polis.

“Susulan penahanan suspek, polis merampas sebuah motosikal yang digunakan sewaktu kejadian dan hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah, selain turut mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari mulai semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, video kejadian ragut itu tular dalam laman sosial dan pihak polis turut mengesahkan menerima laporan mengenai insiden itu yang mangsa wanita berusia 54 tahun dilihat berseorangan menunggang motosikal di Jalan Kelochor diragut dua lelaki tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal berwarna kuning sehingga menyebabkan mangsa terjatuh. – Bernama