tertiary education graduates convocation universities UTHM
Gambar hiasan

MADANI kini menjadi istilah yang begitu popular di kalangan masyarakat di Malaysia setelah diperkenalkan falsafah, kerangka dan model pelaksanaannya oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Ideologi ini kini mula mendapat tempat di hati dan bibir masyarakat kerana konsep yang sangat holistik di dalam mentadbir dan mengurus negara. Namun, perkara terpenting yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Perpaduan ialah untuk menghasilkan graduan yang mempunyai ciri-ciri madani demi kelangsungan kepimpinan insani di negara Malaysia yang disayangi ini.

Para graduan merupakan pelapis kepimpinan negara perlu dipersiapkan untuk menggalas tugas-tugas sulit dan mencabar demi negara. Usaha ini penting kerana cabaran masa hadapan adalah benar, cabaran teknologi adalah benar, cabaran ekonomi adalah benar, cabaran keselamatan dan kedaulatan adalah benar bahkan segala cabaran yang dibincangkan oleh para sarjana adalah benar belaka.

Umpamanya, dahulu tidak pernah pemimpin membayangkan bahawa pembelajaran maya adalah mustahil kini ianya benar belaka. Bahkan, cabaran ini hanyalah permulaan ke arah suasana ‘artifical’ secara menyeluruh satu hari nanti. Oleh itu, menyediakan para graduan untuk mendepani cabaran-cabaran tersebut adalah hal yang mustahak untuk dilaksanakan.

Peningkatan skil graduan madani

Program unutk meningkatkan kebolehan dan keupayaan graduan perlu dipacu untuk memastikan kemahiran mereka di dalam beberapa skil yang penting seperti ‘artificial intelligence’, ‘data analytic’ dan ‘software engineer’ dapat diterapkan. Tiga elemen ini merupakan struktur asas masa hadapan yang berteknologi tinggi di luar kemampuan biasa.

Ianya hanya boleh dipacu melalui skil dan keupayaan tinggi yang perlu diterapkan ke dalam diri para graduan sebelum mereka meninggalkan alam universiti.
Pemantapan skil di kalangan graduan dapat memenuhi permintaan pasaran yang memerlukan keupayaan para graduan untuk berinteraksi dengan teknologi terkini dan data saintifik. Malangnya, kebanyakan graduan memilih untuk memohon pekerjaan yang industrinya semakin mengecil dan mengurangkan jumlah tenaga kerja manusia.

Umpamanya, industri pemasaran, tenaga kerja fizikal sudah semakin mengecil kerana diambil alih oleh dunia maya dan ‘artificial intelligence’. Hal ini menyebabkan peluang graduan untuk mendapat kerja pertama mereka terbantut. Oleh itu, tiada pilihan selain pemerkasaan TVET, graduan juga perlu memantapkan kebolehan dan keupayaan untuk berinteraksi dengan sistem robotik dan sistem ‘big data’.

Peningkatan nilai insani

Walaupun dunia semakin menuju kepada sistem robotik dan kepintaran teknologi, namun nilai-nilai insani masih lagi penting untuk diterapkan di dalam diri para graduan. Nilai moral, adab, akhlak dan tatasusila yang menjadi teras falsafah madani yang dibawa oleh kerajaan perlu diterapkan di dalam diri para graduan. Sejarah membuktikan ramai yang pintar telah menyalahgunakan kepintaran mereka untuk membuat kerosakan di muka bumi.

Misalnya senjata kimia yang dihasilkan oleh para cerdik pandai yang meragut nyawa, negara dan nilai sejagat telah musnah. Konflik di Syria dan Palestin adalah contoh terbaik untuk menggambarkan betapa rosaknya dunia apabila teknologi tidak dilengkapi dengan nilai insani.

Perasaa empati, simpati, kasih sayang dan rahmah untuk seluruh alam perlu ditekankan di dalam diri para graduan. Sikap terhadap ilmu yang ditekuni dengan nilai dan moral yang tinggi perlu diterapkan di dalam diri agar ‘jasbah’ untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dapat dilaksanakan. Jika hal ini dibentuk di dalam diri para graduan, nescaya negara Malaysia berada di landasan yang lurus untuk menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan dihormati diperingkat dunia.

Para graduan tidak lagi boleh berada di zon selesa kerana kemajuan teknologi  sukar  dibendung. Misalnya dahulu maklumat sukar dicari tetapi kini semuanya dihujung jari. Jika skil para graduan tidak dimantapkan dan nilai insani tidak diterapkan maka akan berlaku lagi kes-kes tidak enak seperti rasuah dan penyelewangan serta pecah amanah dalam kalangan pemimpin pada masa hadapan negara ini.

Malaysia tidak lagi boleh dibuai mimpi dengan sejarah kegemilangan dahulu kala kerana sejarah ditempa kerana model graduan berskil dan berakhlak yang diterapak pada awalnya antara faktor sejarah tercipta. Sejarah ini boleh berulang hanya dengan para graduan pada zaman ini dipersiapkan melalui model madani dan nilai insani yang menjadi tunjang pentadbiran negara ketika ini.

Akhirnya, graduan adalah pemimpin masa hadapan, aset negara, sumber kekuatan negara. Kitalah yang akan menentukan bagaimana corak kepimpinan yang kita mahukan untuk mengambil alih tampuk pentadbiran negara. Tepuk dada tanya selera!

Oleh: Kamarul Aini Hassan Basri
Bahagian Pengambilan Pelajar, UiTM Shah Alam &

Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM
Felo Penyelidik Bersekutu,
Institut Penyelidikan Untuk Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM