Dr. Halimah Ali
Dr. Halimah Ali

KUALA LUMPUR – Dr Halimah Ali (PN-Kapar) hari ini memohon maaf susulan kenyataannya berhubung Menu Rahmah yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau membuat permohonan maafnya dalam bentuk gurindam.

“Jikalau ada jarum peniti, jangan disimpan di dalam peti, andai ada ucapan disalah erti, saya menyusun 10 jari, niat di hati suara rakyat saya juarai semak imbang Kerajaan MADANI, biar integriti, bukankah itu peranan hakiki.

“Selaku wakil rakyat suara rakyat yang diwakili sudi kiranya rujuk penyata rasmi muka surat 134 hingga 137 pada 14 Februari,” katanya di Dewan Rakyat.

Minggu lepas, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) membuat permohonan mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12), susulan kenyataan yang dibuat Dr Halimah ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dr Halimah didakwa mengaitkan Menu Rahmah dengan beberapa penyakit terutamanya kanser, autoimmune (diseases) dan autisme.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, permohonan maaf itu dibuat Dr Halimah selepas persetujuan bersama dicapai sebelum ini.

“Saya menerima permohonan dari Bandar Kuching untuk meminta penjelasan dari YB (Yang Berhormat) Kapar dan saya menjemput YB Kapar ke bilik saya dan ada persetujuan antara saya dan YB Kapar membacakan kenyataan yang dipersetujui,” katanya.

Isu Menu Rahmah mencetuskan kekecohan pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat minggu lepas, selepas Dr Halimah Ali menafikan beliau mengeluarkan kenyataan menu itu menjadi penyebab penyakit kanser. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast